Antara Kekal Bergelumang Dosa Atau Bangkit Mencari Sinar?

Pilihan untuk dipilih
Antara kekal bergelumang dosa atau bangkit mencari sinar…

Di dalam keheningan pagi takkala embun masih belum lagi disejat mentari, berdiri seorang gadis di gigi pantai. Hempasan ombak yg membasahi kakinya seakan-akan tidak memberikan apa – apa kesan kepada dirinya. Dia begitu resah dihambat dilema nuraninya.

Semalam, wajahnya yang dilihat hasil pantulan di dada Tasik Kenyir itu jelas penuh tercoret dengan dosa – dosa semalam. Semalam dan kelmarin, sebulan dan setahun yang lepas. Kesilapan-kesilapan yang sama namun tetap terus dilakukan olehnya.

Bukan tidak mengetahui tegahan syarak, bahkan jauh sekali cuba mencabar kemurkaan Ilahi. Cuma kedaifan diri menangkis asakan fatamorgana duniawi yang menggamit sejuta keasyikan. Keseronokan menuruti syahwat itu jelas mencandui dirinya.

“Tahniah”, dirinya tetap “istiqamah” untuk kekal bersama keadaan itu lantaran teguh mengenggam ‘fatwa-fatwa’ para ‘sahabat sejatinya’….

Siti, kita ni manusia je… Hamba Allah yang lemah, tak lari dari buat dosa.
Tidak lari dari berburuk sangka, susah nak kawal diri dari berkecil hati…
Sekuat mana pun kita berusaha, kita tetap hambaNya yang tidak sempurna…

Jadi hiduplah seperti mana yang “ telah Allah tentukan”

begitu bernas nasihat yang sering ‘Ustazah’ Farah berikan terhadapku…

Ya, akan ku jadikan pesanan itu sebagai azimat menempuh kehidupan ini…

.

Namun begitu, kuliah pagi “Tanyalah Ustazah” di TV6 pagi itu begitu menjentik mindaku. Memaksa fikiran ini untuk menilai kembali falsafah yang ku pertahankan selama ini…

Para pendengar yang dikasihi Allah sekalian. Terdapat perbezaan yang nyata antara pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan golongan Jabariyyah dan Qadariyyah berhubung usaha manusia dan ketentuan Allah terhadap sesuatu pekerjaan kita, marilah kita bersama-sama melihat dan mendalami perbezaan ini.

Golongan pertama yang digelar golongan Jabariyyah beriktikad bahawa setiap perbuatan manusia ialah di bawah paksaan Allah. Kehidupan manusia ini tidak ubah seperti robot yang telah diprogramkan untuk berfungsi hanya pada ketetapan yang telah ditetapkan penciptanya.

Para pendengar sekalian, iktikad ini jelas bertentangan dengan lafaz ayat yang sering kita bacakan setiap kali solat iaitu

“ Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan,” (Surah al-Fatihah, 5)”


Secara jelasnya kandungan ayat ini menolak iktikad Jabariyyah yang menafikan usaha dan hanya berserah secara total kepada ketentuan Allah. Islam menuntut kita berusaha dan pada masa yang sama memohon pertolongan Allah di dalam kehidupan ini.

Kita berkehendak, Allah juga berkehendak. Boleh jadi kehendak Allah sama dengan kehendak kita. Namun jika tidak, sekurang-kurangnya kita telah berusaha dan bertawakal di atas usaha kita itu.

.

Golongan kedua yang akan kita kenali digelar sebagai golongan Qadariyyah. Mereka pula beriktikad bahawa setiap perbuatan yg dilakukan oleh manusia ialah menurut kehendak sendiri. Hingga menafikan Qudrat dan Iradat Allah di dalam kehidupan ini.

Perkara ini juga jelas disangkal dengan adanya ayat di atas. Kerana jika kita mempunyai qudrat mengatasi Qudrat Allah, nescaya tidaklah kita sebagai hambaNya berhajat untuk meminta pertolongan Allah dan menyembahNya.

Nauzubillahiminzalik…

Bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) pula, iktikad kita ialah segala pekerjaan yang dilakukan itu dijadikan oleh Allah Taala manakala usaha itu dilakukan oleh hambaNya (manusia).

Hal ini dapat kita lihat di dalam ayat ini;

“ Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa yg kamu perbuatkan itu, ” (Surah Ash-Shaaffaat,96)

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatkannya…. ” (Surah Al-Baqarah, 286)

Secara analogi yang mudah, saya ambil perbuatan makan. Allah menjadikan kita dapat makan. Manusia yang memilih untuk memakan makanan yang halal ataupun yang haram.

Hal yang sama juga dengan nafsu syahwat, Allah menciptakan perkara itu dan membenarkan ianya disalurkan. Manusialah yang memilih sama ada ingin berkahwin ataupun berzina.

Namun seandainya manusia memilih untuk berzina atau memakan babi misalnya, bolehkah Allah menghalang perkara itu ? Tentu sahaja boleh.

Namun dibenarkan ianya berlaku meskipun Allah cukup murka mengenainya. Ini kerana dunia merupakan medan ujian ketaatan hambaNya. Melalui sifat Rahman (Maha Pemurah) Allah, kesemua makhlukNya menerima nikmat. Namun hanya dengan sifat ar  Rahim (Maha Penyayang) Allah, seseorang hamba diizinkan memasuki syurgaNya.

Namun, berapa ramai yang tetap bertangguh-tangguh bertaubat seolah-olah masih pasti nyawa mereka akan dipanjangkan lagi oleh allah?


Siti terus melayan perasaannya itu. Dia mengenangkan banyaknya kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya.

Kurnia yang diterima oleh mereka yang beriman mahupun yang kuffur.

Kurnia yang menjadi dugaan bagi menguji hambaNya di dunia ini.

Kurnia yang mana akan menentukan kebahagiaan hakiki di SyurgaNya atau azab yg tidak tergambar di NerakaNya.

Deruan angin pantai itu seakan-akan meniupkan semangat baru ke dalam diri Siti…

 

 

Ya Allah, terimalah taubatku… Bimbinglah diri ini ke arah yang diredhaiMu…

 

Biarlah apa orang nak kata lepas ini, aku akan cekalkan hati berubah, 

Kerana ku cari redha Ilahi, bukan sanjungan duniawi,

Akan ku jaga sebaik-baiknya hidayahMu ini Ya Allah….

.

* Renungan *

Hadis 42 – Keluasan Keampunan Allah

Daripada Anas r.a, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah bersabda : Allah  telah berfirman :

“ Wahai anak Adam ! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai anak Adam ! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.

 Wahai anak Adam ! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemui-Ku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.”

[ Hadis riwayat Tirmizi ]

.

Rujukan :

  1. Kitab Anak Kunci Syurga, Asy-Syeikh’ Abdul Qadir Bin Abdul Muthalib Al-Indunisi Al-Mandili
  2. Anak Kunci Syurga 04 Perjanjian Dgn Allah, Perbuatan Hamba dan Tingkatan Iman, http://www.youtube.com/watch?v=YsfNFS9qbHw
  3. Hadis 42 keluasan Keampunan Allah SWT, http://warkahnizam.blogspot.com/2010/06/hadis-42-keluasan-keampunan-allah-swt.html

Source: akuislam

 

 

 

Iklan

Posted on 12 September 2012, in Renungan and tagged . Bookmark the permalink. Tinggalkan komentar.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: